No.10


"Tak mungkin. Tak mungkin. Tak mungkin. Tak mungkin," bisik hati kecil Irdina berulang kali.

Tidak pernah pun terlintas di fikiran Irdina bahawa Cikgu Muqri sebenarnya sudah bertunang. Apatah lagi bertunang dengan Cikgu Nafisah, guru lama Irdina.

"Irdina, kau tak apa-apa?" tanya Hayfa yang menyedari temannya duduk dan senyap dari tadi sejak diberitahu akan identiti tunang Cikgu Muqri. Irdina memberikan pandangan kosong terhadap Hayfa dan selepas itu menarik tangan Hayfa.

"Eh, kau nak bawak aku pergi mana?" tanya Hayfa penuh panik akan kelakuan Irdina. Tangan Hayfa terus ditarik Irdina sehingga mereka sampai ke tandas wanita. Barulah genggaman kuat Irdina terlepas.

"Kau dah kenapa? Kejap lagi ada kelas Cikgu Muqri lah."

"Hayfa, perasaan aku makin tak tenteram lah. Makin risau. Makin merepek pun adalah," luah Irdina.

" Apa yang tak tenteram? Apa yang risau dan apa yang merepek? Cuba cerita. Lekas sikit. Kejap lagi kelas nak mula," jawab Hayfa sambil mencuri pandangan ke arah jam tangannya.

"Aku rasa super jealous bila dapat tahu Cikgu Muqri dah tunang!" teriak Irdina dan selepas itu cepat-cepat menutup muka dengan telapak tangannya.

Hayfa tertawa. Semakin kuat tawanya, semakin berkerut kening di wajah Irdina. Tawa Hayfa terhenti apabila melihat riak wajah Irdina seperti orang yang kecewa.

"Aku minta maaflah. Tapi kau ni degil sangat," kata Hayfa.

"Aku degil? Apa yang aku degil? Kenapa tiba-tiba aku pula yang degil?" tanya Irdina bertubi-tubi.

"Kau ni memang degil. Aku dah kata, selagi kau tak mengaku yang sebenarnya kau dah terjatuh cinta dengan Cikgu Muqri, selagi itu perasaan-perasaan kau setiap hari dan setiap saat macam kena pengisar!"

Irdina tunduk. Memang Irdina akui kadang-kala apa yang dikatakan Hayfa itu memang betul. Cuma Irdina yang sukar menerimanya.

"Tapikan Hayfa, aku tak nak mengharap. Tengok apa dah jadi, belum mula mengharap pun, dah tertiarap."

"Aku berhenti berharap, dan menunggu datang gelap, sampai nanti suatu saat, tak ada cinta ku dapat," Hayfa tiba-tiba menyanyikan lagu Berhenti Berharap yang dipopularkan oleh kumpulan Sheila On 7.

Irdina tidak henti-henti tertawa. Ada sahaja ragam Hayfa untuk melayannya.

"Kau eh, dengan orang lain macam orang kena jahit mulut, dengan aku macam mulut kau tu macam buaya nak makan orang!"

Hayfa memeluk Irdina. Dia tahu jauh di sudut hati Irdina, dia masih kecewa dengan berita yang baru diterimanya tadi. Hayfa tidak mampu membuat apa-apa selain memberikan Irdina satu pelukan yang erat sekali.

"Dah lah tu, Irdina. Ini baru satu kali kecewa. Kau masih muda. Anggap aja, Cikgu Muqri tu macam guru. Memang kau kena anggap dia macam guru pun," nasihat Hayfa dan Irdina sekadar mengangguk berkali-kali.

No comments: